Soalan lazim ini menjelaskan tujuan, skop dan kuasa di bawah Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 [Akta 776], termasuk jawapan kepada dakwaan yang sering dibangkitkan berhubung perisytiharan kawasan keselamatan, peranan Pasukan Keselamatan dan mekanisme semak dan imbang yang diperuntukkan.
Maklumat ringkas
- Akta
- Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 [Akta 776]
- Tarikh diwartakan
- 7 Jun 2016
- Tarikh berkuat kuasa
- 1 Ogos 2016
- Punca kuasa
- Perkara 74(1) Perlembagaan Persekutuan, butiran 2 dan 3 Senarai Persekutuan
- Jumlah soalan
- 34 soalan dalam 7 topik
- Dokumen asal
- Muat turun PDF Soalan Lazim Akta 776
1. Latar belakang dan tujuan Akta
1. Bilakah Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 [Akta 776] diwartakan dan berkuat kuasa?
Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 [Akta 776] telah diwartakan pada 7 Jun 2016 dan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2016.
2. Apakah tujuan Akta ini?
Akta 776 ialah Akta yang digubal untuk menubuhkan Majlis Keselamatan Negara. Akta ini juga memperuntukkan mengenai perisytiharan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai kawasan keselamatan, kuasa khas Pasukan Keselamatan dalam kawasan keselamatan dan perkara lain yang berhubungan dengannya.
3. Kenapa perlu Akta ini apabila sudah ada SOSMA 2012 dan POTA 2015?
- Tujuan dan konsep Akta ini adalah berbeza daripada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA 2015).
- SOSMA 2012 merupakan undang-undang prosedur dan siasatan yang memperuntukkan kuasa-kuasa khas bagi siasatan berkaitan kesalahan keselamatan. Manakala, POTA 2015 adalah suatu undang-undang pencegahan yang mencegah perlakuan atau sokongan kepada perbuatan pengganas mana-mana organisasi kumpulan pengganas di luar negara.
- Sebaliknya, Akta 776 ini adalah bersifat complementary kepada SOSMA 2012 dan POTA 2015 dalam menangani isu keganasan di mana kawasan yang terlibat dengan aktiviti keganasan boleh diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan di bawah seksyen 18 Akta 776 agar tindakan bersepadu boleh diambil bagi menangani ancaman keselamatan tersebut.
- Selain itu, penguatkuasaan Akta 776 ini tidak menjejaskan penguatkuasaan mana-mana undang-undang lain di dalam kawasan keselamatan. Sebagai contoh, jika terdapat sebarang aktiviti keganasan (terrorism) dilakukan di dalam kawasan keselamatan yang termasuk di bawah skop SOSMA 2012 atau POTA 2015, maka peruntukan di bawah SOSMA 2012 atau POTA 2015 adalah terpakai.
4. Apakah penjelasan terhadap dakwaan bahawa Akta 776 adalah tidak sah (unconstitutional) kerana bercanggah dengan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan?
- Dakwaan ini adalah tidak benar. Akta 776 tidak dibuat di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Ia dibuat di bawah kuasa Parlimen mengikut Perkara 74(1) Perlembagaan Persekutuan dibaca dengan butiran 2 dan 3, Senarai Pertama, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
- Hal perkara berhubung “pertahanan bagi persekutuan” dan “keselamatan dalam negeri” adalah merupakan perkara yang dinyatakan dengan jelas di bawah butiran 2 dan 3, Senarai Pertama, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, Akta 776 yang merupakan suatu undang-undang bagi maksud keselamatan negara adalah di bawah bidang kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang dan sekali gus berada di bawah bidang kuasa eksekutif Persekutuan.
- Oleh itu tidak ada keperluan supaya diadakan ‘recital’ bagi menyatakan Akta 776 dibuat di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Malahan, Akta 776 tidak memperuntukkan apa-apa kesalahan yang baru mahupun prosedur luar biasa daripada yang diperuntukkan di dalam undang-undang sedia ada. Akta 776 juga tidak menjejas hak asasi yang dilindungi di bawah Perkara 5, 9, 10 dan 13 Perlembagaan Persekutuan.
2. Kuasa Perdana Menteri, YDPA dan ATM
5. Apakah penjelasan terhadap dakwaan bahawa Akta 776 menonjolkan dictatorship Perdana Menteri kerana sepatutnya hanya YDP Agong sahaja yang mempunyai kuasa untuk membuat perisytiharan darurat?
- Dakwaan ini adalah tidak tepat sama sekali. Terdapat perbezaan yang ketara antara perisytiharan darurat dan kawasan keselamatan. Darurat hanya boleh diisytiharkan oleh YDPA apabila berlaku darurat yang besar (grave emergency) dan bukannya ancaman keselamatan biasa. Dalam mengawal dan menguruskan suatu ancaman yang dihadapi, Kerajaan mengambil pendekatan bahawa proklamasi darurat di bawah Perkara 150 adalah kaedah penyelesaian yang terakhir sekali (the last resort) memandangkan kesan proklamasi darurat yang amat besar termasuklah kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang dan kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan yang boleh meliputi bidang kuasa Dewan Undangan Negeri dan Kerajaan Negeri (kecuali dalam hal agama Islam, adat istiadat dan hak anak Negeri Sabah dan Sarawak).
- Sebaliknya, perisytiharan kawasan keselamatan boleh dibuat apabila berlaku ‘ancaman yang serius terhadap keselamatan negara’ dan bukannya ‘darurat yang besar’. Ini bermaksud, tahap ancaman yang membolehkan perisytiharan kawasan keselamatan oleh Perdana Menteri adalah lebih rendah berbanding tahap ancaman bagi maksud perisytiharan darurat oleh YDPA. Maka tidak timbul isu ‘power grab’ ataupun ‘promoting dictatorship’. Kuasa untuk mengisytiharkan darurat masih kekal kepada YDPA di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
6. Apakah penjelasan terhadap dakwaan bahawa kesan proklamasi Darurat dan perisytiharan kawasan keselamatan adalah sama?
Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Kesan proklamasi darurat di bawah Perkara 150 adalah lebih besar berbanding kesan yang timbul berikutan perisytiharan kawasan keselamatan di bawah Seksyen 18 Akta 776. Perbandingan kesan di antara kedua-duanya adalah seperti berikut:
| Perkara 150 (Darurat) | Seksyen 18 (Kawasan keselamatan) |
|---|---|
| YDPA boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan, sekiranya kedua-dua Majlis Parlimen tidak bersidang. | Kuasa untuk membuat undang-undang kekal kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masing-masing. |
| Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai semua perkara kecuali dalam perkara yang menyentuh agama Islam, adat orang Melayu dan undang-undang anak Negeri Sabah dan Sarawak. | Kuasa perundangan kekal kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masing-masing mengikut bidang kuasa sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. |
| Kuasa eksekutif Persekutuan boleh meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan sesuatu Negeri dan boleh memberikan arahan kepada Kerajaan sesuatu Negeri. | Kuasa eksekutif kekal dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masing-masing mengikut bidang kuasa sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. |
7. Apakah penjelasan terhadap dakwaan bahawa Akta 776 digubal untuk menjamin kepentingan Perdana Menteri dan UMNO?
- Dakwaan ini adalah tidak tepat sama sekali. Akta 776 digubal berdasarkan tiga sebab utama iaitu pertama, untuk menubuhkan MKN secara perundangan susulan pemansuhan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1971 dan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979 pada tahun 2011 yang menjadi punca kuasa MKN sebelum ini; kedua, untuk meningkatkan penyaluran maklumat risikan antara Pasukan Keselamatan dan Entiti Kerajaan; dan ketiga, untuk mewujudkan mekanisme tindak balas segera apabila berlaku ancaman serius terhadap keselamatan negara.
- Dari segi kepengerusian Majlis Keselamatan Negara oleh Perdana Menteri, kedudukan ini adalah mengambil model National Security Council negara-negara lain yang masing-masing juga dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Presiden dengan ahli-ahli yang dilantik.
8. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepatutnya berada di bawah kuasa YDPA tetapi telah diambil alih oleh Perdana Menteri di bawah Akta 776. Adakah kuasa YDPA terhadap ATM akan terhakis?
YDPA tidak melaksanakan operational command terhadap ATM. YDPA adalah field marshal ATM, ketua dari segi istiadat dan simbol ketenteraan. Oleh itu, isu berhubung sama ada kuasa YDPA terhadap ATM akan terhakis adalah tidak berbangkit. Penglibatan ATM sebagai Pasukan Keselamatan di bawah Akta 776 adalah disebabkan ATM tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menjalankan tugas operasi keselamatan dalam negeri dalam situasi bukan peperangan. Oleh yang demikian, Akta 776 adalah penting bagi membolehkan ATM menjalankan operasi menangani ancaman keselamatan negara bersama-sama dengan Pasukan Keselamatan yang lain.
9. Adakah ancaman keselamatan yang dihadapi oleh negara kini begitu serius sehingga memerlukan penggubalan Akta 776?
- Ancaman terhadap keselamatan negara boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa dapat dijangka. Persoalannya ialah sejauh mana kita bersedia untuk menangani ancaman keselamatan yang bersifat rentas sempadan, amat kompleks dan mampu mengganggu-gugat keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat? Memandangkan bentuk-bentuk ancaman keselamatan negara hari ini yang kompleks dan dinamik, maka Kerajaan perlu memperkukuhkan mekanisme dan sistem dalam penggubalan dasar-dasar keselamatan, perkongsian maklumat perisikan dan tindak balas segera yang bersepadu oleh Pasukan Keselamatan ke atas sesuatu insiden ancaman keselamatan yang di luar kemampuan sesebuah agensi. Kita tidak boleh menunggu sesuatu insiden atau ancaman berlaku, kemudian baru bertindak kerana ianya mungkin sudah terlambat dan mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.
- Insiden serangan pengganas di Lahad Datu pada tahun 2013 memberi pengajaran berguna buat Malaysia. Susulan insiden tersebut, Kerajaan telah mengisytihar kawasan keselamatan di Sabah (ESSZONE) dan bukan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Melalui perisytiharan kawasan keselamatan, ketenteraman awam di kawasan tersebut berjaya dipulihkan dan hak asasi penduduk di kawasan tersebut terjamin. Jika perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dibuat, segala aktiviti politik, ekonomi dan sosial sudah tentu akan lumpuh sama sekali. Ianya akan menyulitkan kehidupan seharian penduduk di Sabah.
- Selain itu, Akta ini diwujudkan berikutan pemansuhan Ordinan Darurat 1971 dan Akta Darurat 1979 pada 2011. Kewujudan MKN, JPM pada masa kini adalah secara pentadbiran berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1971. Kewujudan secara pentadbiran ini telah menjejaskan tindakan pengarahan dan penyelarasan oleh MKN, JPM terhadap Pasukan Keselamatan dan Agensi-Agensi Kerajaan berkaitan keselamatan negara.
- Akta ini juga akan memberikan kuasa kepada MKN, JPM untuk menyelaras tindakan bersepadu di kalangan anggota Pasukan Keselamatan. Ia turut memberi kuasa sewajarnya kepada Pasukan Keselamatan bagi menangani ancaman yang berlaku di dalam kawasan keselamatan yang diisytiharkan.
3. Sabah, Sarawak dan keanggotaan Majlis
10. Adakah Akta 776 menjejaskan hak-hak keistimewaan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963?
- Bagi maksud penubuhan Malaysia, Suruhanjaya Cobbold dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee) telah ditubuhkan untuk mengkaji dan merumuskan persetujuan-persetujuan pihak-pihak berkaitan serta mengemukakan syor berhubung ‘future constitutional arrangements and the form of the necessary safeguards for North Borneo and Sarawak’. Syor-syor dalam Laporan Suruhanjaya dan Jawatankuasa berkenaan, setakat yang dipersetujui oleh Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (iaitu Sabah), Sarawak dan Singapura telah diterjemahkan dalam Perjanjian Malaysia yang kemudiannya telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Malaysia 1963 [Akta 26/1963] dan undang-undang yang berkaitan.
- Antara peruntukan yang dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia termasuklah peruntukan khas bagi menjamin kepentingan Sabah dan Sarawak berhubung dengan perkara tanah, peruntukan mengenai kedudukan istimewa anak negeri di Sabah dan Sarawak dalam perkara berkaitan perizaban jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan atau latihan, pemberian permit dan lesen perdagangan atau perniagaan, bilangan tempat dalam universiti, kolej dan institusi pendidikan, dan sekatan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada sesuatu negeri untuk meminjam tidak terpakai kepada Sabah dan Sarawak.
- Tambahan daripada itu, kesemua peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan lebih autonomi dan kedudukan yang istimewa kepada Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak tidak boleh dipinda sewenang-wenangnya oleh Kerajaan Persekutuan tanpa persetujuan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Sabah atau Negeri Sarawak jika pindaan itu ialah yang akan menyentuh perjalanan kuat kuasa Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan perkara-perkara yang melibatkan antara lain, hak rakyat Sabah dan Sarawak untuk menjadi warganegara, keanggotaan dan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, kuasa perundangan Badan Perundangan Negeri Sabah dan Sarawak, agama dan penggunaan apa-apa bahasa di dalam Negeri Sabah dan Sarawak serta kuota ahli Dewan Rakyat yang diperuntukkan untuk Negeri Sabah dan Sarawak.
-
Dalam hal ini Perjanjian Malaysia 1963 memperuntukkan Perkara VIII Perjanjian Malaysia seperti yang berikut:
“Article VIII. The Governments of the Federation of Malaya, North Borneo and Sarawak will take such legislative, executive or other action as may be required to implement the assurances, undertakings and recommendations contained in Chapter 3 of, and Annexes A and B to, the Report of the Inter-Governmental Committee signed on 27th February, 1963, in so far as they are not implemented by express provision of the Constitution of Malaysia.”
- Berdasarkan Annex A Report of the Inter-Governmental Committee tersebut, perkara berhubung dengan ‘pertahanan’ dan ‘keselamatan dalam negeri’ dinyatakan dalam Senarai Persekutuan Perlembagaan Persekutuan dan sehubungan dengan itu selaras dengan Perkara 80(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa eksekutif berhubung dengan perkara berkenaan adalah dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan. Dalam hal ini bukan sahaja Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa berkenaan pertahanan dan keselamatan dalam negeri, ia merupakan suatu obligasi ke atas Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan kuasa tersebut.
Nota: Inter-Governmental Committee dipengerusikan oleh Marquess of Lansdowne, the Minister of State for Colonial Affairs dan dianggotai oleh wakil-wakil daripada Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (iaitu Sabah) dan Kerajaan Sarawak.
11. Kenapa tiada definisi keselamatan negara dalam Akta 776?
- Akta 776 tidak memperuntukkan takrif yang khusus bagi terma “keselamatan negara” demi melengkapkan Majlis dengan segala kuasa yang sewajarnya untuk menggubal dasar dan merangka langkah strategik dan tindakan bersepadu yang sewajarnya dalam usaha menangani sebarang ancaman terhadap keselamatan negara dalam apa-apa jua bentuk sekalipun.
- Ancaman keselamatan yang dihadapi oleh Malaysia pada ketika ini adalah amat berbeza dengan ancaman yang dihadapi negara 50 tahun sebelum ini. Kini, negara bukan sahaja terdedah kepada ancaman dari segi serangan ketenteraan yang konvensional malah perlu menghadapi serangan-serangan dalam pelbagai bentuk termasuklah serangan kimia, biologi, radiologi, nuklear, serangan kumpulan ekstremis yang dilengkapi dengan teknologi canggih dan terkini yang boleh berlaku pada bila-bila masa dan mengakibatkan kerosakan pada skala yang besar kepada negara dan kecederaan kepada ramai rakyat pada satu-satu masa.
- Walaupun tiada takrif khusus diperuntukkan terhadap terma “keselamatan negara”, rujukan bolehlah dibuat terhadap elemen-elemen penting keselamatan negara sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perenggan 4(a) Akta sebagai termasuk kedaulatan, integriti wilayah, pertahanan, kestabilan sosio-politik, kestabilan ekonomi, sumber strategik, perpaduan negara dan kepentingan lain yang berhubung dengan keselamatan negara.
- Pertimbangan berhubung apakah yang termasuk di bawah maksud keselamatan negara dan tahap ancaman atau tahap keseriusan ancaman keselamatan negara tersebut adalah merupakan kuasa pihak eksekutif.
12. Mengapakah tiada wakil daripada Sabah dan Sarawak dalam keanggotaan Majlis? Jumlah keanggotaan Majlis juga tidak memadai kerana tidak mencerminkan komposisi etnik, budaya, perpaduan nasional dan kepentingan ekonomi.
- Hal perkara berhubung keselamatan negara adalah merupakan bidang kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan. Sehubungan itu, keanggotaan Majlis sebagaimana yang dinyatakan di dalam Seksyen 6 Akta 776 adalah diperuntukkan kepada mereka yang mempunyai pengetahuan khusus dan maklumat sewajarnya berhubung keselamatan negara, termasuklah keselamatan di Negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak.
- Sungguhpun begitu, Seksyen 10 Akta memperuntukkan bahawa Majlis boleh mengundang mana-mana orang yang bukan anggota Majlis untuk menghadiri mesyuaratnya bagi menasihati Majlis mengenai apa-apa perkara yang dibincangkan. Sekiranya sesuatu hal perkara yang dibincangkan di dalam Majlis melibatkan Negeri-negeri, maka wakil-wakil negeri yang berkaitan boleh dijemput untuk menghadiri mesyuarat Majlis.
- Keanggotaan Majlis yang terlalu ramai adalah dilihat sebagai kurang sesuai, terutamanya apabila fungsi utama Majlis adalah berkisar hal-hal keselamatan negara yang merupakan suatu perkara yang amat terperingkat (confidential).
- Mesyuarat juga akan diadakan dengan kerap dan keahlian yang ramai akan menjejaskan kelancaran kehadiran mesyuarat Majlis.
13. Adakah Majlis, melalui Seksyen 11 Akta 776, mempunyai kuasa untuk menentukan segala tatacaranya termasuk tatacara penguatkuasaan?
Seksyen 11 Akta 776 adalah bagi membolehkan Majlis menentukan tatacara dalamannya iaitu berkenaan tatacara mesyuarat, perkara-perkara yang hendak dibincangkan di dalam mesyuarat dan perkara-perkara berkaitan pentadbiran Majlis. Seksyen 11 bukanlah bertujuan untuk membolehkan Majlis membuat tatacara penguatkuasaan kerana perkara berkenaan penguatkuasaan telah diperuntukkan di dalam Bahagian V, Akta.
14. Keanggotaan mana-mana Jawatankuasa hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya seorang wakil daripada Negeri Sarawak.
- Seksyen 12 Akta 776 memperuntukkan bahawa Majlis boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu atau suai manfaat untuk membantunya dalam melaksanakan fungsinya. Untuk tujuan ini, Majlis boleh melantik mana-mana orang untuk menjadi anggota mana-mana jawatankuasa tersebut, dan boleh juga melantik mana-mana anggotanya untuk menjadi pengerusi jawatankuasa yang ditubuhkan ini.
- Ahli-ahli jawatankuasa ini akan dipilih daripada kalangan individu yang sesuai dan berpengetahuan berhubung perkara subjek (subject matter) dan maksud jawatankuasa tersebut ditubuhkan. Oleh yang demikian, cadangan supaya keanggotaan jawatankuasa hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya seorang wakil daripada Negeri Sarawak adalah tidak berbangkit kerana keanggotaan jawatankuasa adalah bergantung kepada kepakaran dan pengetahuan seseorang itu dan bukannya faktor kenegerian.
4. Pasukan Keselamatan dan ancaman
15. Apakah penjelasan terhadap dakwaan bahawa ATM sewajarnya tidak terlibat dengan operasi selain operasi ketenteraan (perang)?
- Akta ini hanya memberi kuasa kepada Pasukan Keselamatan yang termasuklah ATM (sekiranya dikerah ke kawasan keselamatan tersebut) untuk membantu dalam menangani ancaman keselamatan yang timbul di dalam kawasan keselamatan tersebut.
- Pada masa ini, pihak ATM tidak mempunyai kuasa melalui undang-undang untuk membuat tangkapan, sitaan, penggeledahan dan lain-lain kuasa penguatkuasaan yang diperlukan dalam menangani sesuatu ancaman.
- Oleh yang demikian, undang-undang ini digubal untuk memberikan kuasa khas yang dinyatakan di Bahagian V, Akta kepada ATM bagi membolehkan ATM untuk turut sama memainkan peranan mereka dalam menjaga keselamatan negara dalam kawasan keselamatan.
16. Bagaimana Akta 776 boleh dikuatkuasakan bagi menghadapi ancaman bersifat asimetri?
- Seksyen 17 Akta 776 mengenakan kewajipan terhadap Entiti Kerajaan untuk melaporkan kepada Majlis melalui Ketua Pengarah Keselamatan Negara apa-apa maklumat atau risikan yang menjejaskan atau berkemungkinan untuk menjejaskan keselamatan negara.
- Oleh yang demikian, segala maklumat risikan berhubung ancaman yang bersifat asimetri atau bukan konvensional ini dapat ditangani dengan lebih bersepadu dan berkesan di bawah Akta ini.
- Dalam pada itu juga, Majlis mempunyai kuasa di bawah Seksyen 5 untuk mengawal dan menyelaras Entiti Kerajaan dalam semua operasi berkenaan keselamatan negara termasuklah ancaman bersifat asimetri.
17. Adakah perisytiharan kawasan keselamatan memerlukan persetujuan mandatori oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi negeri-negeri yang berkenaan?
- Hal perkara berhubung pertahanan Persekutuan dan keselamatan dalam Negeri adalah merupakan perkara yang berada di dalam bidang kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan. Perkara ini adalah jelas diperuntukkan di bawah Perkara 80(1) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersekali dengan Butiran 2 dan 3, Senarai Pertama, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
- Oleh yang demikian, keperluan persetujuan mandatori oleh mana-mana Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar atau Ketua Menteri dalam hal perkara yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan secara keseluruhannya adalah tidak berbangkit.
5. Perisytiharan kawasan keselamatan
18. Apakah maksud “keselamatan diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana orang, perkara atau benda” sebagaimana diperuntukkan di dalam subseksyen 18(1) Akta? Adakah banjir merupakan ancaman keselamatan?
- Maksud “keselamatan diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana orang, perkara atau benda” sebagaimana diperuntukkan di dalam subseksyen 18(1) Akta 776 adalah gangguan atau ancaman yang serius oleh mana-mana orang, perkara atau benda yang menyebabkan atau berkemungkinan untuk menyebabkan bahaya yang serius kepada orang ramai, atau bahaya yang serius kepada wilayah, ekonomi, infrastruktur utama negara atau apa-apa kepentingan Malaysia yang lain yang memerlukan tindak balas negara dengan serta-merta.
- Perkataan “orang” bermaksud mana-mana orang atau sekumpulan orang termasuklah pertubuhan; “perkara” bermaksud sesuatu yang tidak ketara (intangible) seperti wabak, serangan siber, perasaan tidak sihat seperti sentimen perkauman yang melampau; dan “benda” bermaksud sesuatu yang ketara (tangible) seperti binatang atau senjata biologi seperti anthrax.
- Perkataan “serius” sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 18(1) Akta hendaklah ditakrifkan mengikut maksud biasa (literal meaning) yang mana akan melibatkan pertimbangan sewajarnya oleh Majlis.
- Suatu bencana seperti banjir yang berskala besar sehingga menjejaskan atau berkemungkinan untuk menjejaskan keselamatan negara boleh dikategorikan sebagai ancaman keselamatan dan tertakluk di bawah Akta ini sekiranya kawasan yang terlibat diisytihar sebagai kawasan keselamatan di bawah Akta ini.
19. Apakah legal safeguard berhubung kuasa mengisytihar kawasan keselamatan?
Mekanisme check and balance diperuntukkan di bawah subseksyen 18(6) Akta 776 yang mana perisytiharan kawasan keselamatan hendaklah dibentangkan di Parlimen dengan seberapa segera, dan seterusnya boleh dibatalkan jika resolusi diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk membatalkan perisytiharan tersebut.
20. Mengapa kuasa yang terlalu luas diberi kepada Perdana Menteri berhubung perisytiharan kawasan keselamatan?
Kuasa Perdana Menteri di bawah Seksyen 18 adalah untuk mengisytihar kawasan keselamatan atas nasihat Majlis dan bukannya secara bersendirian. Anggota-anggota Majlis terdiri daripada individu yang berkelayakan dan mempunyai pengetahuan sewajarnya dalam hal keselamatan negara. Oleh yang demikian, dakwaan bahawa Akta ini memberi kuasa yang luas kepada Perdana Menteri adalah tidak berasas sama sekali.
21. Subseksyen 18(1) Akta 776 memperuntukkan bahawa Perdana Menteri hendaklah bertindak atas nasihat Majlis tetapi di bawah subseksyen 18(4) PM boleh memperbaharui perisytiharan tanpa nasihat Majlis.
- Walaupun peruntukan di subseksyen 18(4) tidak menyatakan bahawa Perdana Menteri boleh memperbaharui perisytiharan kawasan keselamatan atas nasihat Majlis, ini tidak bermakna Perdana Menteri akan bertindak secara bersendirian.
- Perlulah diingat bahawa Perdana Menteri juga merupakan Pengerusi Majlis yang mempunyai semua maklumat yang diperlukan untuk memutuskan sama ada tempoh perisytiharan perlu diperbaharui atau tidak. Secara praktikalnya, Perdana Menteri akan bertindak atas nasihat Majlis dalam hal-hal yang melibatkan keselamatan negara.
- Jika tempoh lanjutan ini tidak dipersetujui, Parlimen boleh menggunakan kuasanya di bawah subseksyen 18(6) untuk membatalkan pelanjutan perisytiharan tersebut.
22. Adakah visiting forces boleh dikerah untuk bertugas di kawasan keselamatan dan adakah ia mempunyai kuasa secara automatik dalam Akta ini?
Seksyen 19(2) Akta ini memperuntukkan bahawa Majlis boleh mengeluarkan suatu perintah eksekutif berhubung pengerahan tugas (deployment) mana-mana Pasukan Keselamatan. Dalam hubungan ini, Visiting Forces juga adalah tertakluk kepada arahan Pengarah Operasi dan Majlis yang dinyatakan di bawah Akta ini. Walau bagaimanapun, Visiting Forces tidak mempunyai kuasa secara automatik di bawah Akta ini.
23. Adakah YDPA perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan?
- Tiada kehendak undang-undang yang memerlukan Majlis untuk merujuk kepada YDPA sebelum sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan.
- Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang Majlis untuk memaklumkan YDPA berhubung perkara-perkara penting mengenai keselamatan negara dari semasa ke semasa.
24. Apakah mekanisme untuk menangani ancaman keselamatan di dalam keadaan yang mana tiada kawasan yang tertentu seperti ancaman serangan siber?
- Sekiranya suatu ancaman keselamatan tidak melibatkan sesuatu kawasan yang tertentu seperti ancaman serangan siber, maka tiada perisytiharan kawasan keselamatan akan dibuat. Sebaliknya, ancaman keselamatan sedemikian akan ditangani melalui arahan (directive) Majlis di bawah Seksyen 5(b) Akta ini.
- Sebagai contoh, dalam hal serangan siber, mekanisme pengurusan ancaman adalah berdasarkan kepada Arahan MKN No. 24 berhubung Dasar dan Mekanisme Pengurusan Krisis Siber Negara (2011).
6. Pengarah Operasi dan kuasa dalam kawasan keselamatan
25. Akta Angkatan Tentera 1972 akan diabaikan dengan adanya Akta ini dan tentera akan dipaksa terlibat walaupun ia bercanggah dengan Akta Angkatan Tentera 1972.
Akta Angkatan Tentera 1972 adalah merupakan suatu undang-undang yang berkaitan dengan hal-hal penubuhan pentadbiran dan tatatertib angkatan tentera Malaysia. Akta ini tidak memperuntukkan hal-hal berkaitan operasi ATM. Jika mana-mana anggota ATM ditugaskan di bawah Akta MKN di dalam kawasan keselamatan, Akta Angkatan Tentera 1972 masih tetap terpakai dalam hal disiplin dan pentadbiran ATM tidak kira di mana mereka berada. Justeru pemakaian Akta MKN ini tidak bercanggah dengan Akta Angkatan Tentera 1972.
26. Kuasa Pengarah Operasi dalam kawasan keselamatan adalah terlalu luas.
- Pengarah Operasi telah diberikan kewajipan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 21(1) Akta ini. Bagi menjalankan kewajipan ini, Pengarah Operasi diberikan kuasa di bawah Seksyen 21(2) untuk membuat segala benda yang perlu atau suai manfaat bagi melaksanakan kewajipannya itu di dalam kawasan keselamatan.
- Walau bagaimanapun, kuasa ini bukanlah suatu kuasa yang tidak terbatas. Ia hendaklah ditafsirkan mengikut ruang lingkup kewajipannya yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 21(1) sahaja (within the ambit of the functions as provided under clause 21(1)). Kuasa sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 21(2) adalah kuasa yang amat perlu diperuntukkan kepada Pengarah Operasi demi membolehkan beliau mengawal ancaman yang dihadapi di dalam kawasan keselamatan dengan berkesan.
- Dalam melaksanakan kewajipannya, Pengarah Operasi adalah bertanggungjawab secara terus kepada Majlis. Ini adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 20(2) Akta ini. Oleh yang demikian, segala tindakan Pengarah Operasi hendaklah tertakluk kepada arahan dan pemantauan Majlis Keselamatan Negara.
- Oleh yang demikian, dakwaan bahawa kuasa Pengarah Operasi di bawah Akta ini adalah terlalu luas adalah kurang tepat dan mekanisme check and balance telah pun diperuntukkan sewajarnya di dalam Akta ini.
27. Apakah tindakan yang boleh diambil jika Pengarah Operasi melakukan salah laku, kerana tiada peruntukan dalam Akta berkenaan perkara ini?
- Sekiranya Pengarah Operasi yang dilantik itu adalah dari kalangan pegawai awam, maka apa jua salah laku yang dilakukan oleh Pengarah Operasi akan dikawal selia di bawah Peraturan-Peraturan yang terpakai ke atas penjawat awam termasuklah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau Peraturan-Peraturan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.
- Sekiranya Pengarah Operasi dilantik daripada kalangan bukan pegawai awam, maka dalam terma-terma pelantikan Pengarah Operasi akan dinyatakan bahawa sebarang salah laku yang dibuat oleh Pengarah Operasi akan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan yang sama. Perkara ini tidak perlu dinyatakan dalam Akta ini kerana Peraturan-Peraturan tersebut dan undang-undang sedia ada akan mengawal selia tingkah laku penjawat awam, dan kontrak bagi maksud pelantikan juga boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap salah laku Pengarah Operasi.
- Selain itu juga, Pengarah Operasi adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Jika didapati melakukan perbuatan jenayah, seseorang Pengarah Operasi boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa berkaitan kesalahan jenayah.
28. Apakah yang dimaksudkan dengan “mengambil milikan sementara” dan berapa lamakah tempoh “sementara” yang dimaksudkan ini?
- Terma “milikan sementara” hendaklah ditafsirkan mengikut maksud biasa secara harafiah (normal literal meaning) iaitu hak milikan sementara harta tersebut secara tidak kekal dan hak milik terhadap harta yang diambil milikan sementara tersebut tidak akan lucut daripada pemilik asalnya (the right to possession and not the right to ownership).
- Tempoh masa pemilikan sementara adalah bergantung kepada Pengarah Operasi mengikut keperluan penggunaannya. Walau bagaimanapun, tempoh tersebut hendaklah suatu tempoh yang tidak melebihi tempoh pengisytiharan kawasan keselamatan dibuat di bawah Seksyen 18 Akta ini.
- Walaupun begitu, mana-mana orang yang terkilan boleh membuat bantahan kepada jawatankuasa di bawah Seksyen 30(7) Akta ini. Ahli jawatankuasa yang dilantik di bawah Seksyen 30(7) Akta ini adalah dilantik oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan bukannya Pengarah Operasi yang mengambil milikan sementara itu.
29. Perlu ada mekanisme yang adil dalam mentaksir pampasan.
Mekanisme untuk menentukan nilai pampasan yang memadai terhadap pengambilan milikan sementara dan penggunaan sumber akan diperuntukkan di dalam peraturan-peraturan yang akan dibuat di bawah Seksyen 42.
30. Adakah kuasa Pasukan Keselamatan mengawal pergerakan adalah bercanggah dengan Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan bergerak?
- Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya. Walau bagaimanapun, kebebasan bergerak ini adalah tertakluk kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam atau penghukuman pesalah.
- Seksyen 24 Akta ini memperuntukkan kuasa kepada Pengarah Operasi untuk mengarahkan mana-mana anggota Pasukan Keselamatan di dalam kawasan keselamatan untuk mengawal pergerakan mana-mana orang atau mana-mana kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut, melarang penggunaan jalan atau menutup jalan di dalam kawasan keselamatan.
- Oleh yang demikian, Seksyen 24 Akta yang merupakan suatu peruntukan undang-undang yang digubal bagi maksud memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara adalah tidak bercanggah dengan Perkara 9(2), Perlembagaan Persekutuan.
31. Apakah maksud penggunaan kekerasan yang munasabah dan perlu?
- Kekerasan yang perlu dan munasabah di bawah Seksyen 34 Akta bermaksud kekerasan yang boleh digunakan hendaklah tidak boleh melampaui atau melebihi hak mempertahankan diri yang dibenarkan oleh undang-undang.
- Penggunaan apa-apa kekerasan terhadap seseorang tidak boleh menyebabkan kematian atau kemudaratan badan yang teruk melainkan jika anggota Pasukan Keselamatan itu mempercayai tindakan sedemikian disifatkan perlu untuk:
- melindungi nyawa atau menghalang kecederaan serius kepada dirinya dan orang lain;
- melindungi kawasan keselamatan daripada ancaman serangan bersenjata.
- Oleh yang demikian, penggunaan kekerasan yang munasabah dan perlu di bawah Akta ini hendaklah tertakluk kepada batasan atau had-had yang diperuntukkan di bawah Akta ini dan tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya.
7. Inkues, perlindungan undang-undang dan peraturan
32. Apakah penjelasan terhadap dakwaan bahawa mana-mana anggota Pasukan Keselamatan dan mana-mana orang yang meninggal dunia di dalam kawasan keselamatan tiada pembelaan kerana tiada inkues boleh dibuat atas kematian mereka?
- Secara amnya, sesuatu inkues boleh dibuat oleh Majistret bagi menyelidiki bila, di mana, bagaimana dan apa caranya si mati itu menemui ajalnya dan sama ada mana-mana orang ada terlibat secara jenayah di dalam sebab-sebab kematian itu. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan di bawah seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah.
- Seksyen 35 tidak menghilangkan kuasa Majistret untuk mengarahkan suatu inkues dijalankan. Sebaliknya, ia hanya memberikan kuasa budi bicara kepada Majistret atau koroner untuk mengetepikan pengadaan siasatan kematian atau inkues ke atas mayat mana-mana orang jika dia berpuas hati bahawa orang itu telah terbunuh di dalam kawasan keselamatan akibat operasi yang dijalankan oleh Pasukan Keselamatan. Peruntukan ini tidak menghalang Majistret atau koroner untuk menjalankan siasatan kematian atau inkues.
- Peruntukan ini telah dimasukkan bagi membolehkan Majistret atau Koroner untuk tidak membuat inkues bagi kematian-kematian yang jelas puncanya dan tidak memerlukan penyiasatan lanjut (post mortem) bagi menentukan punca kematian.
- Walau bagaimanapun, sekiranya Majistret atau Koroner meragui sebab kematian mana-mana anggota keselamatan atau mana-mana orang di dalam kawasan keselamatan itu, maka Majistret atau koroner itu masih boleh menjalankan siasatan kematian dan inkues sewajarnya mengikut peruntukan sedia ada di bawah Kanun Tatacara Jenayah. Jika waris si mati masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Majistret atau Koroner, maka suatu semakan bolehlah dibuat di Mahkamah Tinggi di bawah seksyen 341A Kanun Tatacara Jenayah.
33. Adakah benar perlindungan daripada prosiding undang-undang yang diperuntukkan di bawah Seksyen 38 akan menyebabkan ahli Majlis terlepas dari sebarang prosiding undang-undang?
- Seksyen 38 Akta memberi perlindungan kepada mana-mana ahli Majlis, jawatankuasa, Pengerusi Operasi atau mana-mana anggota Pasukan Keselamatan atau kakitangan Entiti Kerajaan berkenaan apa-apa yang dilakukan atau ditinggalkan olehnya dengan suci hati (in good faith).
- Sekiranya perbuatan atau apa-apa tindakan dilakukan atau ditinggalkan dengan niat jahat, maka perlindungan ini tidak akan terpakai.
- Seksyen 38 Akta ini adalah merupakan pembelaan yang boleh dipakai oleh mana-mana orang yang menjalankan tugas dalam jawatan rasminya, dan bukanlah satu peruntukan yang menghalang secara total sebarang prosiding undang-undang untuk diambil terhadap mereka.
- Terdapat banyak Akta-Akta terkini yang lain yang turut memperuntukkan perkara yang sama, contohnya Seksyen 62 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Seksyen 145 Akta Pengurusan Strata 2013.
- Penentuan sama ada sesuatu tindakan dilakukan atau ditinggalkan itu adalah suci hati ataupun tidak adalah satu persoalan fakta (questions of fact) yang akan diputuskan oleh Mahkamah.
34. Mengapa kuasa yang luas diberikan kepada Perdana Menteri untuk membuat peraturan-peraturan (regulations)?
Dalam mana-mana undang-undang sekalipun, kuasa untuk membuat peraturan-peraturan sentiasa diberikan secara umum seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 42(1) Akta MKN. Walaupun dilihat luas, kuasa tersebut mesti digunakan bagi maksud menjalankan atau menguatkuasakan peruntukan Akta ini. Dalam erti kata lain, “within the four walls of the Act”. Jika Perdana Menteri membuat peraturan-peraturan di luar kuasa yang diberikan oleh Akta ini, peraturan-peraturan yang dibuat boleh dicabar di mahkamah. Oleh yang demikian, tiada kuasa yang “absolute” di bawah Akta ini.
Sumber: Soalan Lazim Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 [Akta 776], Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. Muat turun dokumen asal (PDF).
